Sunday, September 13, 2015

terbang tunduk - dari satu persepsi

terbang tunduk, puisi lagu fynn
puisi yang menceritakan konsep akidah

"bertahanlah wahai raksa, jangan kau terhenti,
berpautlah wahai nyawa, ini bukan mimpi"
monolog santai yang seakan cuba memberi semangat dan mendorong jiwa supaya tidak berputus asa
sekaligus mengukuhkan semangat itu dengan kesedaran realiti hidup ini. supaya kita tidak lelah berusaha dan kekal utuh dalam menghadapi ujian dunia yang penuh pancaroba ini.

"saksikan dengan mata, rasakan dengan jiwa - kau sedang tinggi"
baris ini seolah mengajak kita supaya lebih bersyukur dengan melihat alam ini secara zahir dan menelitinya dengan hati, bahawa kita sentiasa dilimpahi rahmat ilahi.
kali pertama aku dengar lagu ini, aku hampir menangis. dan rasa itu sentiasa lahir setiap kali aku ulang dengar puisi lagu ini. kesedaran supaya sentiasa bersyukur dan teruskan usaha ( ayat ini mengukuhkan lagi kata semangat yang fynn cuba nyalakan pada bait pertama puisi lagu ini) untuk mencapai cita-cita kita.

"jauh nya kau terbang, siapa sangka - getir yang menghalang tak besar mana"
kesedaran dan semangat yang disuntik tadi terus dibawa kepada visi dan ganjaran yang kita akan perolehi jika kita kekal fokus dan tidak berhenti dari mengejar mimpi yang kita ingin jadi.
sehingga pada saat kita telah berjaya mencapai yang dihajati, terlihat cabaran yang kita tempuhi untuk berada dimana kita berdiri (suatu hari nanti) hanyalah ujian kecil yang telah kita harungi dengan jaya. maka benarlah semangat yang utuh akan membawa kita kemana saja kita inginkan.

"payah semalam - moga mudah selama"
pada baris ini, fynn sekali lagi seolah mengingatkan kita akan perit jerih yang telah kita lalui dan semoga kita semakin bijak dalam mengharungi segala ujian dan onak duri dihidup ini. kerana tidak semua kita belajar dan mengambil pengajaran daripada segala apa yang terjadi dalam hidup kita. maka dengan ringkas fynn menambah bara semangat untuk kita, semoga mudah perjalanan kita dihari mendatang dengan pelajaran yang kita terima disetiap liku yang telah ditempuhi.

"tiap apa yang mematah tekak mu, tiap yang menolak, tiap yang memijak henyak - biar dibelakang mu, jangan dikenang, moga dibuang dendam dan sayu"
paling tenang. betapa fynn menerapkan pribadi islami pada bait puisi nya. mengajak kita untuk lebih fokus hanya pada usaha kita. kerana realiti dunia, pasti akan ada yang akan cuba mematahkan semangat kita, hasad yang cuba menjatuhkan kita, jasad jahat yang berusaha untuk melihat kita gagal. fynn mengajak supaya kita biarkan mereka dan apa sahaja itu dibelakang, jangan jadikan ia sebagai alasan yang menghalang kita dari menggapai mimpi dan cita-cita kita. dan jangan pula kita menyimpan dendam dengan mereka. tidak pula berasa sedih dengan sebarang provokasi dan situasi yang cuba menjatuhkan kita.
kerana jiwa yang tenang akan sentiasa dilimpahi rahmat ilahi. dan memaafkan adalah suatu yang paling berani bagi seorang pejuang bagi diri sendiri. dan kerana kejayaan yang besar hanya bagi mereka yang ikhlas dalam mencarinya, dan tidak pula memikirkan kejahatan orang lain terhadap dirinya.

"tuhan, jangan kau izin aku lupa - jangan biarkan aku mendepang dada
pasakkan hatiku pada kaki, paksakan ku tunduk sehingga mati"
betapa sedar segala af'al kita takdir kita adalah terjadi dengan izin tuhan
kerana tanpa izin Nya, tidak akan terzahir dan tidak akan berlaku segala tiap suatu di alam ini dan tidak akan berjaya seseorang itu tanpa izin dari tuhan. maka, disaat berada ditempat yang tinggi itu, saat kau meraih kejayaan itu, sentiasa lah bersyukur dan janganlah pula kau lupa diri dan bongkak membesar diri. pada bait ini, aku lebih terkesan kerana konsep akidah islam seolah diceritakan pada satu baris bersahaja.kesedaran dan pegangan akidah yang menyedari semua kegagalan yang diterima dan juga kejayaan seseorang itu tidak akan berjaya diperolehi tanpa izin tuhan. jadi, pada saat-saat kita berada dipuncak kejayaan, janganlah kita lupa segala yang kita usahakan tidak akan memberi hasil jika tanpa izin dari tuhan. dan dari situ, kita seharusnya terus memohon supaya tuhan memelihara kita dari sifat takbur, menyombong diri, sifat cela dan terkeji.
menyedari hakikat itu, fynn bersungguh memohon pada tuhan supaya mengurniakan dia hati yang sentiasa merendah diri. bahkan kesedaran itu terus membawa kepada rasa takut yang tinggi pada dahsyatnya kerosakan rohani, punca matinya hati insani.
sehingga dia sangat berharap (kita dapat lihat disetiap kali fynn menyanyikan baris ini dengan bersungguh dan sepenuh hati dan emosi) supaya kerendahan hati dia berada pada posisi paling ikhlas. dan dizahirkan dengan memohon supaya diletakkan pada posisi paling rendah pada diri setiap insan iatu pada kaki.
dan tidak cuma metafora, fynn juga menambah doanya kepada ilahi dengan berharap takdir ilahi yang ditetapkan padanya supaya menjadi seorang yang sentiasa bersyukur dan merendah diri tanpa sombong sehingga lah dia mati. fynn gunakan perkataan "paksa" disini kerana dia juga sedar, betapa hati manusia yang sentiasa tidak puas dan merasa cukup ini akan sentiasa alpa dan lupa. dan pada kemuncak mencapai kejayaan, tidak cuma dia meminta supaya diberi kebesaran hati yang sentiasa merendah diri, dia juga meminta supaya sifat dan keperibadian itu "terpaksa" kekal sebagai jati diri dia sehinggalah dia mati. kerana tanpa "paksaan", hati yang sentiasa tidak cukup ini akan selalu mengintai minit dan detik dimana kita akan lalai dan lupa mengingati segala yang diterapkan dari awal bait puisi ini.

ok. dah subuh, penutup dia - selamat pagi. ini pandangan abam untuk puisi fynn yang ini. kalau korang nak yang sahih lagi menepati apa yang fynn ingin sampai kan, sila tanya dia sendiri. abam tulis ni dari persepsi abam, tanpa mengenali siapa dan apa sebenarnya yang fynn mahukan dari puisi dia yang ini. harap kokping maafkan abam andai kefahaman abam ni tidak seperti yang dia mahu sampaikan. bye :)

2 comments:

damia ahda said...

hi. abam boleh jadi [pengolah puisi lah gini. hihi

Ahmad Addle said...

eh, lama tak sembang. sihat ke cik damia? :)